Pages

Tuesday, January 7, 2014

Kesihatan | Basuh dulu

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Sebenarnya cerita ni nak diceritakan semalam, tapi disebabkan masalah teknikal, cerita tak boleh nak di post guna blog-droid. Jadi tertangguh dan post hari ini.
Ceritanya begini, semalam, waktu tengah menyusun stok makanan kat pantry, Kak Murni pun datang. Nak minum air katanya. Dia pun membuka peti ais dan mengeluarkan sekotak air soya yang masih belum dibuka.

Tiba-tiba….

“Eh…. kak, kenapa akak basuh kotak tu??”.. aku bertanya dalam keadaan yang terkejut beruk.. hehe.. tipu je.. tapi hairan jugak.

“Haaa… Sebelum kita nak minum air kotak ke, air tin ke..kena basuh dulu. Kita tak tahu sebelum dijual air ni diorang letak dekat mana kotak-kotak ni semua..Biasa air kotak ni diorang simpan dalam gudang, stor..dannn.. biasanya tempat-tempat macam tu adalah tikus. Takut-takut tikus-tikus tu semua main kejar-kejar ke.. nyorok-nyorok ke.. terpijak kotak air kita ni.. tak pasal-pasal kita boleh kena penyakit kencing tikus.”

Aku mengangguk-angguk macam budak sekolah mendengar penerangan cikgu nye. haha.. Menarik perhatian aku sebab selalu dalam berita ke surat khabar selalu memberitakan kebanyakan pesakit kencing tikus akan terkena penyakit ini setelah pulang dari air terjun, panjat gunung, air kolam, dan lain-lain lagi lah yang berkenaan air. Rupa-rupanya penyakit ini juga boleh tersebar melalui simpanan barang-barang dari dalam stor.

Kak Murni menyambung lagi “ Suami akak kan doktor, ada satu hari tu, sorang pesakit datang dan disahkan menghidap penyakit kencing tikus ni, yang peliknya, dia tak de pulak buat aktiviti luar seperti mandi air terjun, panjat gunung dan sebagainya, tapi boleh terkena penyakit ni. Setelah diselidik barulah dapat tahu yang dia terkena dari tin minuman yang dia minum tu.”
“Habis straw tu pun kena basuh jugak la kan?”. Aku memang suka nak tanya soalan lain dari yang lain..haha..

“yela, mana taw straw tu dah kena pijak ke ngan tikus….”
“eiiiii…. Ngeri..”

Moralnya disini ialah, pastikan kita membasuh dahulu kotak, tin, dan apa sahaja bekas makanan yang kita akan masukkan ke dalam mulut kita. Tak mengapalah bersusah dahulu asalkan kita tidak merana di kemudian hari.

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubati. tak gitu?
-----------------------------------------------------------------------------------------------

 PENYAKIT KENCING TIKUS

APAKAH ITU PENYAKIT KENCING TIKUS?
Penyakit kencing tikus atau nama sainsnya Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut.

ADAKAH TIKUS HAIWAN PEMBAWA BAKTERIA INI??
Pada mulanya, bakteria ini dikenal pasti datangnya dari tikus. Namun kini, banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada liar atau peliharaan. Haiwan dijangkiti ada kalanya menunjukkan tanda sakit, tetapi sekadar menjadi pembawa dan tidak memindahkan jangkitan. Secara umumnya bakteria Leptospira boleh menjangkiti  anjing, tikus dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

BAGAIMANA MANUSIA BOLEH DIJANGKITI?
Manusia boleh mendapat jangkitan Leptospirosis apabila mengharung atau berenang dalam air tercemar yang tidak mengandungi klorin. Bahkan, menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia selain sentuhan langsung dengan air kencing, darah atau tisu haiwan yang dijangkiti.

Bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Bagaimanapun, bakteria ini tidak dipindahkan dari satu individu ke individu lain.
Faktor risiko termasuklah:
Melakukan pekerjaan yang terdedah kepada panas seperti petani, penternak/peladang, pekerja rumah penyembelihan, doktor haiwan, pemotong kayu, pekerja sistem pembentungan, pesawah dan anggota tentera.

Aktiviti rekreasi dalam air seperti berenang, berkayak dan berbasikal di laluan denai di kawasan panas.
Terdedah kepada peralatan dan haiwan di rumah termasuk, binatang peliharaan seperti anjing, binatang sembelihan dan mengambil makanan yang telah digigit oleh binatang seperti tikus, tupai dan arnab.

APAKAH KOMPLIKASI YANG DIHADAPI PESAKIT?
Pada peringkat seterusnya jangkitan boleh menyebabkan kelenjar limfa bengkak, sakit tekak, otot tegang, bunyi paru-paru yang tidak normal atau ruam. Gejala ini boleh berlanjutan dari beberapa hari ke beberapa minggu.

Gejala menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kerosakan hati.

APAKAH BENTUK RAWATAN DAN PENCEGAHAN?
Sebagaimana jangkitan bakteria lain, Leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti Penisilin, Streptomisin, Eritromisin, Tetrasiklin dan Doksisiklin yang perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan. Namun jika gejala dialami serius, doktor akan memantau keadaan pesakit supaya tidak bertambah teruk.

Itu saja maklumat untuk perhatian kita bersama.

Oh ya. Sebelum terlambat. SELAMAT TAHUN BARU 2014.. hehe

Sekian, terima kasih.



No comments: